Minggu, 16 Februari 2014

Browse » home» » » » » » » » » » Hebat ! Rahsia kejayaan 2 jutawan muda adik beradik

Hebat ! Rahsia kejayaan 2 jutawan muda adik beradik

myMetro 14 April 2013

Oleh NORIAH IDRIS, FIRDAUS SAHAT, SHAMRAN SARAHAN, MOHD AZAM SHAH YAACOB dan ANIZA ZAINUDIN
Kuala Lumpur: “Kejayaan tidak dicapai dalam sekelip mata. Di peringkat awal, saya tiada masa untuk makan dan kerap bertukar pakaian di tandas awam semata-mata untuk bertemu dan ‘ambil hati’ pelanggan,” kata jutawan saham amanah dan insurans, Aida Nurlin Hanif, 32, menceritakan kerja kerasnya sebelum berjaya.
Ketika itu, dia perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerja kerana masih menuntut dalam jurusan Diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menjadikan kakaknya, Nor Akmar, 36, sebagai idola, usaha gadis bertudung ini nyata berbaloi apabila mampu bergelar orang kaya baru ketika masih di universiti.
Masakan tidak, pada usia 21 tahun ketika rakan sebaya masih mengharapkan wang biasiswa dan pinjaman untuk menyara kehidupan di kampus, dia mampu memiliki kereta mewah Porsche Boxster.

Aida Nurlin yang lebih mesra disapa Elynn berkata, prinsip utamanya dalam setiap pekerjaan mesti dibuat sehingga sempurna dan berjaya.

Katanya, dia teruja melihat kekayaan kakaknya lantas yakin mampu memperoleh kejayaan sama jika berusaha bersungguh-sungguh walaupun dibebani komitmen sebagai pelajar.
FotoELYNN (kiri) berbincang dengan Akmar.
Menurutnya, kuliahnya bermula jam 10 pagi, namun seawal jam 8 pagi setiap hari dia mengatur janji temu dengan pelanggan tetap atau mencari pelanggan baru.

Selepas janji temu, dia bergegas ke kuliah sebelum mengatur pertemuan lain ketika waktu makan tengah hari bagi membolehkannya mencapai sasaran peribadi.
“Rutin itulah yang dilalui sehingga tamat pengajian. Kadangkala sampai malam pun masih bertemu pelanggan hingga makan tak menentu,” katanya.

Kejayaan menakjubkan Elynn dan Akmar makin dikagumi pelbagai pihak hingga ramai menggelar mereka sebagai ‘millionaire sisters’ (jutawan adik-beradik).

Kini dua beradik kelahiran Ipoh, Perak ini mampu menjalani kehidupan bagaikan selebriti terkenal dunia, memiliki kereta dan banglo mewah serta membeli-belah di kota sehebat Paris, Perancis tinjauan keringat sendiri.

Mengimbau permulaannya sebagai perunding saham amanah, Akmar berkata, dia dipelawa seorang kenalan rapatnya untuk berkecimpung dalam bidang itu ketika berusia 23 tahun.

“Sebenarnya saya pemilik Ijazah Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST).

“Selepas menamatkan pengajian, saya sempat bekerja tiga bulan di sebuah syarikat besar di bidang teknologi maklumat (IT) sebagai pengurus besar.

“Namun, saya tidak puas dan beranggapan bidang amanah saham lebih sesuai dengan jiwa saya. Walaupun usia masih muda dan tidak ramai kenalan, saya yakin boleh melangkah jauh dengan usaha keras,” katanya.

Berkat kegigihannya, dia berjaya membuka agensi sendiri pada usia 25 tahun dan mengurus serta mengendalikan pelaburan hingga meletakkannya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di institusi kewangan terbesar di negara ini.

Malah, dia mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan ketika berumur 26 tahun dan dua tahun kemudian, dia mampu melahirkan 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).

“Rahsia kejayaan ialah mendapat restu orang tua. Ibu banyak memberi semangat manakala ayah, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan di Perak serta adik-beradik banyak memberi kekuatan kepada kami berdua,” katanya.

Dua beradik jutawan itu pernah merangkul lebih 250 anugerah, termasuk Ikon Belia Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini, berikutan prestasi cemerlang sebagai perunding saham amanah.

Pencapaian lain termasuk Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever, Million Dollar Round Table dan Anugerah Usahawan Muda Universiti Malaya.

Sementara itu, mengenai projek terbaru, Elynn berkata, mereka melancarkan MyMep iaitu singkatan daripada Malaysian Young Millionaire Entrepreneur Project dengan kerjasama KBS dalam usaha membantu melahirkan usahawan muda berjaya dan dinamik dalam tempoh tiga tahun.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar