Selasa, 11 Februari 2014

Browse » home» » » » » Yingluck Elak Penunjuk Perasaan

Yingluck Elak Penunjuk Perasaan


Bangkok – Kemasukan penunjuk perasaan di sebuah lokasi wawancara media memaksa Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, keluar dari bangunan berkenaan ketika pasukan keselamatan bertindak.

Wartawan agensi berita asing menunggu untuk menemubual Yingluck dalam Biro Membanteras Narkotik apabila diberitahu pembantunya, Natthriya Thaweevong, bahawa Yingluck sudah keluar selepas penunjuk perasaan mendekati lokasi wawancara itu.

Polis Thailand awalnya melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang cuba memasuki Rumah Kerajaan untuk menggulingkan Yingluck.

Keganasan di ibu negara itu menyebabkan dua maut dan berpuluh lagi cedera.

Pertumpahan darah itu adalah terbaru di negara berkenaan, sejak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang juga abang Yingluck digulingkan tujuh tahun lalu.

Penunjuk perasaan mahu menggantikan kerajaan Yingluck dengan majlis rakyat. Bantahan di jalanan kali ini adalah terbesar sejak keganasan politik di Bangkok tiga tahun lalu yang menyebabkan berpuluh orang mati dalam tindakan keras tentera.

Penunjuk perasaan berhimpun di luar Rumah Kerajaan pada awal Ahad, berikutan kata dua yang diberi oleh pemimpin mereka untuk menawan pejabat Yingluck.

Polis melepaskan beberapa gas pemedih mata dan juga meriam air selepas penunjuk perasaan cuba melanggar penghadang dan mengerat kawat berduri yang melindungi kawasan yang dikawal ketat pasukan keselamatan termasuk askar tanpa senjata.

Gas pemedih mata juga dilepaskan berhampiran ibu pejabat polis metropolitan beberapa kilometer di mana penunjuk perasaan berhimpun.

Ketegangan memuncak selepas keganasan tercetus kelmarin, di kawasan stadium apabila berpuluh ribu penyokong pro kerajaan Baju Merah berhimpun menyokong Yingluck.

Mangsa ditembak, tikam

Ada penunjuk perasaan yang maut dan cedera mengalami kecederaan akibat tembakan senjata api dan tikaman. Puncanya tidak jelas tetapi keganasan berlaku selepas satu kumpulan anti kerajaan menyerang kumpulan Baju Merah yang tiba untuk menyertai perhimpunan di daerah Ramkhamhaeng.

“Angka kematian yang disahkan adalah dua dan 54 cedera,” kata pegawai di pusat kecemasan Erawan, berikutan laporan keganasan merebak berhampiran stadium.

Ia adalah kematian pertama sejak tunjuk perasaan aman bermula sebulan lalu. Kedua-dua pihak saling menyalahkan lawan kerana menyerang penyokong masing-masing.

Keganasan juga memaksa pemimpin Baju Merah menamatkan perhimpunan yang menarik berpuluh ribu penduduk, terutama penduduk luar bandar yang menyokong Yingluck dan Thaksin, yang kini tinggal dalam buangan. – AGENSI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar